BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 15, 2011

Pengubat Hati Yang Resah

Hatinya hiba. Duduk beralaskan surat khabar di penjuru sebuah padang sebuah taman yang sedang membangun. Kosong jiwanya. Fikirannya tidak tentu arah. Wajahnya nampak sugul dengan terdapat kesan lebam di bawah mata kerana terlalu banyak menangis. Malamnya sering terjaga dan tersentak. Sesekali, dia memandang ke langit. Melihat kemilauan bintang yang berkelip di langit yang hitam. Mencari ketenangan melihat bayang-bayang awan disirami cahaya bulan. Namun, jauh di sudut hatinya mengenang nasib yang menimpanya kebelakangan ini. Dia memejam mata. Sayu di hatinya tidak bisa ditanggung lagi, maka mengalir deraslah airmata kesayuan…


Cerita yang digambarkan melalui penulisan di atas adalah keadaan hati seseorang ku ambil berat yang gelisah dan gundah hatinya. Memang sukar digambarkan betapa peritnya kisah insan di atas. Berat kita yang melihat atau mendengar, berat lagilah bahu yang menggalas bebannya sendiri.

Namun, sebagai teman yang ingin membantu, bagaimana kita boleh membantu insan yang dalam keadaan begini? Islam ada caranya tersendiri untuk mengubat hati yang resah gelisah. Bolehlah kiranya perkara berikut dikongsi dan dilakukan bersama. Dengarlah dan fahamilah dengan apa yang dikata dan bukan melihat siapa diri yang menyampaikan ini...


Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Terimalah dengan keredhaan dengan apa yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia paling kaya." (Al Hadith)

Belajarlah untuk redha terhadap ketentuan Allah. Belajarlah untuk redha sekalipun sekecil-kecil musibah atau nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita. Ingatlah bahawa, Kesusahan, keperitan hidup, dan musibah itu sememangnya pahit kerana syurga itu manis.


Allah S.w.t. berfirman :
"…sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur."
(Al A’raf : 144)


Demikianlah petikan yang ingin ku kongsikan...bukalah hati untuk terus membaca. Berikut adalah serba ringkas amalan yang mampu kita cuba lakukan...


Pupuklah diri kita membaca AlQuran..

"…sesungguhnya telah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada…"
(Yunus : 57)

Al Quran mengandungi hikmah. Itulah antara kata-kata hikmah yang dipetik daripada Al Quran. Ya, terlalu banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Namun jika hanya pembacaan sahaja, tanpa dihayati isinya, maka tidaklah dapat kita merasai kemanisan kalamullah tersebut. Untuk menghayatinya, sebagai golongan yang tidak memahami bahasa Arab, kita hendaklah membaca Al Quran bersama-sama terjemahannya.


"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar."
(Shaad: 29)

Bagaimana kita nak merasai kemanisan tersebut?
Iaitu dengan menghayati isi kandungan sehingga mampu mengalirkan airmata. Berikut ialah contoh-contoh untuk dicuba:


Pertama, ketika membaca ayat-ayat terjemahan mengenai azab Allah;

Rasakan diri kitalah yang dimaksudkan oleh Allah Taala. Kitalah yang diazab, kitalah yang termasuk golongan-golongan yang berdosa. Sekiranya, terdapat ayat mengatakan putus asanya orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, maka, bayangkanlah kita sedang berputus asa sehingga melahirkan keinsafan.


Kedua, ketika membaca ayat-ayat mengenai nikmat;

Rasakan bahawa kita tidak layak untuk menerima semua nikmat tersebut kemudian berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada azab-azabnya.


Seterusnya, perbanyakkan berzikir;

Mengingati Allah mendekatkan kita dengan Dia pemilik segala cinta. Ketenangan seseorang hamba hadir ketika ia dekat dengan tuhannya. Hal ini kerana ketenangan wujud lantaran kestabilan hati dan perasaan aman dan tenteram.


Namun, sebagai seorang Islam, dalam usaha kita mencari ketenteraman, kita perlulah sentiasa menunaikan perkara asas yang diperintahkan...iaitu solat.

Solat adalah suatu terapi yang baik buat manusia. Namun, sesuatu yang baik itu tidak hadir dengan perlaksanaan yang sambil lewa. Bahkan, kebaikan berbuah daripada kesungguhan dan keikhlasan. Lakukanlah solat wajib tanpa melupakan amalan yang sunat sebagai ibadah sampingan. Intipati di dalam ibadah solat sebenarnya sudah mencukupi untuk mengubati perasaan dukacita, resah gelisah dan sebagainya. Hal ini kerana, bacaan dan doa yang terdapat didalamnya sekiranya dihayati, amat-amat menginsafkan diri.

Perlu diingat, bahawa resah gelisah boleh jadi datang daripada dosa kita. Apabila solat kita mampu menginsafkan diri, maka, InsyaAllah, ketenangan pasti hadir. Kebahagiaan pasti berbunga dan kehidupan pasti lagi indah dan mudah.

Lakukanlah qiyamulail dengan melaksanakan solat taubat, tahajjud dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam hadis sahih, antara lain maksudnya ialah,

"bahawasanya, sekiranya seseorang hamba bangun malam, lalu mengingati Allah (samada lisan atau hati), kemudian berwudhuk dan melakukan solat, dengan izin Allah, ia akan menjadi bersemangat dan bersih jiwanya."


Selain meminta melalui berdoa, sebagai seorang yang ego, susah buatku menerima kelemahanku melalui teguran. Tetapi teguran sebegini lah yang memberikan aku kesedaran. Kesedaran yang diperoleh melalui meluahkan perasaan merupakan salah satu cara mengatasi hati duka. Luahkanlah didalam diari, blog, catatan harian dan sekiranya kita ada peluang, carilah seseorang yang paling kita percaya (sebaiknya yang ada pertalian atau orang yang arif dalam agama).


Sesungguhnya kita juga insan yang lemah. Insan yang tidak mampu melupakan sesuatu begitu sahaja. Namun, terdapat juga cara bagi kita melupakannya iaitu melalui aktiviti. Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya. Atau kita sibukkan diri kita melakukan perkara yang telah dikongsi tadi.

Selepas kita dah cuba perkara2 begini, ada lagi perkara mudah untuk kita lakukan iaitu senyum. Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri kita yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati sebenarnya.

Betul kawan-kawan...kalau kita sendiri tak mencuba bagaimana? Ada kajian dijalankan oleh Carl Jung, dia mendapati sebahagian besar pesakit yang datang menemui doktor jiwa adalah mereka yang menderita sakit kerana kehilangan pegangan agama. Sementara itu, James Gordon Gilkey menyatakan sekiranya seseorang enggan bersikap wajar sesuai dengan keperibadiannya, ia akan menderita sakit saraf dan sakit jiwa.
Carilah keperibadian wajar yang kita selesa disamping menerapkan asas pegangan agama dalam tindakan kita.

Kerana itulah Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)


Percayalah. Dia maha Mendengar dan Maha Mengasihani.
Kadang kala Dia memberi sebelum si hamba sempat menadah tangan untuk meminta. Kerana dia sangat mengerti keperluan hambaNya. Dia yang menjadikan si hamba dan Dia jugalah yang mengatur liku-liku perjalanan hidup hambaNya. Apabila permintaan si hamba tidak diperkenankan, itu bukanlah kerana Dia 'tuli' dan tidak mendengar rintihan serta pengaduan hambaNya. Ada hamba-hamba yang dikasihiNya, yang dibiarkan menderita dan bersedih, dibiarkan terlantar kesakitan, dibiarkan susah dan miskin, kerana begitulah caranya Dia mendidik si hamba; diberi ujian-ujian yang akan menambahdekatkan si hamba dengan Nya dan
melebar lorong buat si hamba dalam kembara di dunia menuju ke syurga yang abadi. Hamba yang menderita dan bersedih pasti akan mengadukan halnya kepada Dia. Hamba yang terlantar dan kesakitan pasti akan merintih memohon keringanan dariNya. Bumi ini milik-Nya, lalu selayaknyalah kita sebagai penghuni yang kerdil ini selalu mengadu kepadaNya.Agar kita tahu bersyukur jika diberi rezeki yang melimpah ruah dengan cara membahagi- bahagikannya pula kepada penghuni yang lain. Juga supaya kita tahu bersabar jika diberi rezeki yang sedikit, kerana kesabaran itu sendiri yang menjadi makanan hati. Sama ada kita bersyukur atau
bersabar, di situ Dia menjadikan ganjaran pahala sebagai bonus untuk menempah istirehat di syurga. Belajar lah menerima hakikat bahawa itu adalah ketentuan dariNya. Sebagai ingatan bagi kita. Untungnya orang  ukmin..semakin banyak masalah semakin mustajab doanya. Bukan perjuangan tanpa kesulitan tapi dalam kesulitan ada ketenangan memulihkan kekuatan. kita tidak bersendirian kerana Allah pasti akan bersama!

Demikian lah serba ringkas ilmu yang ingin dikongsi. Renungkanlah. Aku juga masih kilaf dalam dalam amalanku sendiri. Sekiranya terdapat kekurangan dalam penyampaianku, ampunkan aku. Aku sendiri pernah mengecapi nikmat tersebut namun aku sendiri alpa selepas dibuai kenikmatan berterusan. Aku sendiri sudah sukar merasa nikmat itu lagi. Oleh itu, aku ingin mencuba lagi. Cerita ini, sekadar untuk mengingati diri sendiri dan insan yang sedang berduka. Apa jua pertalian kita di dunia ini, berkongsi teguran dan ilmu amatlah bernilai...Perkara yang perlu ku sendiri lakukan adalah membersihkan jiwa sendiri kerana kebersihan jiwa mampu menghilangkan gundah di dalam dada.


InsyaAllah.

0 comments: