BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, May 17, 2013

google1c211175199fa8eb


Friday, May 3, 2013

Menunaikan Ibadah Umrah Cinta Rasul 2013


Salam Sejahtera, Salam Ukhwah dan Salam Rindu..

Alhamdulillah dan syukur kehadrat Ilahi kerana telah mengurniakan saya bersama jemaah-jemaah yang lain perjalanan Umrah yang lancar, selamat, padat serta diharap akan menjadi umrah yang mabrur.

Buat pengetahuan para pembaca, pada 12.12.2012 yang lalu, saya telah berkunjung ke kaunter Tabung Haji lalu mendaftar untuk menunaikan Umrah pada 18 April 2013 hingga 30 April 2013 dengan mengikuti pakej Umrah Cinta Rasul melalui TH Travel Sdn Bhd. Saya tidak sangka akan dijemput untuk menziarahi Baitullah.  Tiba-tiba tergerak hati. Syukur Alhamdulillah kerana telah diberi peluang keemasan ini. Saya harap, saya akan dijemput lagi ke sana dan mungkin untuk melaksanakan Haji pula.. Insya Allah. (telah 2 tahun saya tangguhkan untuk mendaftar haji kerana tunggu berkahwin tetapi masih tidak berdaftar lagi sehingga sekarang sebab masih single lagi.. punya la risau kot2 bakal isteri tidak dapat pergi bersama nanti.. tetapi lepas berbual dengan semua jemaah umrah, pendapat saya telah berubah dan saya akan daftar haji selepas kembali daripada umrah ini nanti.. Insya Allah.)

Mula-mula daftar dengan kawan tapi bila penghujungnya, kawan saya tidak dapat pergi. Akhirnya, pemergian saya ke sana adalah berseorangan. Saya teruskan juga kerana hati ini rasa mudah dan tidak berat hati pun. Betul. Allah mudahkan perjalanan saya. Kawan baru pun ramai. Sejak dari kursus umrah lagi saya sudah dapat kawan yang selalu bersama-sama bila diperlukan. Alhamdulillah.

Sedikit nasihat buat pembaca, niat kita untuk ke sana bila dijemput perlu bersih, ikhlas dan berniat Lillahita'ala. Dari Malaysia lagi, kita perlu praktikkan niat yang betul agar di sana nanti kita tidak terpesong niat. Saya pun dinasihatkan oleh orang yang pernah pergi ke sana. Memang betul, semuanya lancar. Habis setiap ibadah kita buat, baru la fikir nak bergambar ke shopping ke tapi dengan syarat kita buat yang utama dahulu. Merendah diri, bersungguh-sungguh mengharapkan ibadah yang diterima serta mendapat umrah mabrur.

Para pembaca sekalian, suka untuk saya berkongsi serba sedikit perjalan umrah saya ke sana daripada sebelum sehingga selepas pulang. (Bergantung kepada masa yang saya ada..dan jika di izinkan Allah.. mungkin banyak dan mungkin sedikit yang dapat saya kongsikan.)

Pakej yang saya ikuti ini adalah Pakej Umrah Cinta Rasul. Harga jangan risau kerana Tabung Haji memang cekap dalam pengurusan mereka. Banyak input yang kita dapat dan mutawif yang ada begitu komited dengan tugas mereka sehingga kita rasa seperti sekeluarga. Mereka tidak tinggalkan kita dan tetap tekun membantu.

Kebetulan pula, pakej yang saya ikuti ini rupanya diikuti dengan orang yang selalu keluar TV dan radio. Tak sangka betul Allah bagi peluang bersama mereka. Jika Allah tidak takdirkan kita dijemput atau bersama mereka, memang kita tidak akan ada dalam flight ke sana. Betullah kata orang, hanya yang dijemput akan sampai dan dapat beribadah dengan tawaduk.

Orang yang saya katakan itu adalah Ustaz Haji Don Daniyal Don Biyajid (TV Al-Hijrah dan Program 30 Minit Bersama Ustaz Don) dan Ustazah Hajjah Yusnah Binti Yusof (Penceramah undangan IKIM FM dan slot Tazkirah Haji di Astro Oasis).. Tak dilupa juga para Mutawif muda iaitu Ust M. Izzat, Ust Mohd Fikri, Ust Ahmad Sobri, Ust Fakhrulhadi dan Ust Fakhrulnizam. Banyak pengalaman saya bila bersama mereka yang mungkin tidak semua pengalaman itu boleh dikongsi dalam ini kerana berunsur peribadi dan ada banyak video bersama mereka yang bersaiz besar.. Memang menarik dan seronok bersama mereka. Mereka juga tidak lokek ilmu. Banyak kisah sejarah dan ilmu agama yang berguna untuk meningkatkan lagi penghayatan kita di kawasan Tanah Haram. MasyaAllah.. semua cerita waktu kecik-kecik dulu dapat kita lihat dan recall dengan jelas di tempat asalnya... Kisah Nabi-nabi sampai kisah sahabat-sahabat. Semuanya cukup mengukuhkan lagi apa yang kita baca di dalam Al-Quran.

Bersama Ustazah Yusnah dan Ustaz Don Daniyal

Bersama Mutawif (dari kiri Ustaz Izzat, saya, Ust Sobri, Ustaz Fakhrul, dan Ustaz Fikri.)


Penting tuan-tuan dan puan-puan membaca tafsir al-Quran kerana apa yang kita baca di Malaysia dalam kitab tersebut semuanya dapat kita lihat dengan mudah di sana. Kalau kita tidak ada pengetahuan tentang isi kitab suci itu, kuranglah penghayatan kita nanti. Al-Quran itu bukan sekadar untuk dibaca berlagu tetapi untuk dihayati dan dirujuk. Ingatlah pesan junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya kita ini tidak akan sesat selagi kita berpegang kepada 2 perkara ini iaitu Al-Quran dan Sunnah. Ya para pembaca. Disana sangat cantik lagi ibadah kita jika kita cuba mula mengikut sunnah Rasullullah s.a.w. jika kita belum pernah nak ikut. Tambahan pula makam Baginda ada di masjid Nabawi.. Boleh kita praktikkan sebagai menunjukkan yang kita juga sayangkan baginda.

Oleh itu, sebelum kita berangkat lagi kita boleh mula mengaji al-Quran dan mempraktikkn sunnah serta membaca kisah-kisah nabi dan sahabat untuk mendapatkan lebih penghayatan. Banyakkan solat sunat dan qiamulail agar kita tidak berasa kosong bila ada masa terluang di sana nanti. Mulut pun jangan lupa untuk berzikir dan berselawat.

Penting juga study sendiri daripada awal tentang perjalanan Umrah dan hukum-hakam menunaikan umrah. Para pembaca perlu mencari peluang untuk mengikuti kursus umrah dan juga perlu membaca pelbagai bentuk buku rujukan umrah kerana setiap bacaan boleh memberikan kita pemahaman yang lebih. Ada juga buku bacaan yang menceritakan perjalanan apa yang perlu dibuat; ada juga buku yang menceritakan doa-doa yang sesuai; ada juga buku yang hanya berkisar tentang hukum-hakam mengikut mazhab dan ada juga buku yang menyebut tentang sejarah serta asas-asas dalam umrah.

Lagipun, kita yang perlu tahu bila perbuatan kita sudah kena Dam (hukuman/denda) atau tidak. Bukannya mutawif atau jemaah lain yang perlu pantau untuk kita sebaliknya kita sendiri yang perlu pantau diri sendiri agar tidak melanggar segala pantang-larang. Jika kita sendiri tidak tahu, nanti sampai balik Malaysia kita dalam pantang larang ihram pula. Berapa lama nak tangung dosa?

Okay tuan puan, saya menulis pada post kali ini sebagai mukadimah post-post umrah yang seterusnya. Harap tuan-puan sudi menunggu ye. Mungkin saya tidak berapa rajin nak menulis keseluruhan hari-hari di sana tetapi akan saya ringkaskan kepada part yang perlu kita tahu sahaja. Gambar-gambar juga tidak banyak saya ambil kerana menjaga niat semasa beribadah. Mana yang sempat selepas saya solat atau selesai sesuatu ibadat khusus baru la ada gambar yang saya ambil. Harap maklum.

Yang penting tuan-puan, niat kita datang untuk perbanyakkan beribadat dan bukan datang untuk melancong seperti yang kita biasa buat ketika ke luar negara. Maksud umrah itu sendiri jika difahamkan kita tidak akan buat macam nak melancong. Ada hadith yang kita perlu tahu daripada Riwayat Bukhari dan ada juga hadith Riwayat Muslim yang memberitahu kelebihan-kelebihan beribadat di tempat-tempat di sini. Kita kejar juga pahala yang akan kita dapat di sini yang tidak ada di tempat kita melancong. Bukan bawa list apa nak beli atau apa cenderamata nak bawa balik tetapi list apa kita nak buat di sana. apa ibadah sunat yang kita nak buat dan sebagainya.

Secara tak langsung, pakej Umrah Cinta Rasul yang saya ikuti ini juga ada diselitkan rancangan "30 Minit Bersama Ustaz Don"; "Forum Perdana: Al-Quran dan Al-Sunnah Tarbiyah Ummah"; serta buat pertama kalinya Ust Don memberi tazkirah di atas kapal terbang. Pilot kami pun boleh leka bercakap utara. Memang seronok Umrah kali ini. Kalau boleh, nak datang lagi. Berat hati dan sedih je masa nak tinggalkan Madinah.
Oh ye, pakej saya ikut ni masuk Mekah dahulu baru Madinah. Jadi boleh la saya katakan yang saya datang bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Bila tuan puan ikut program umrah atau haji nanti, tuan puan akan faham maksud saya.

Sekian catatan ringkas saya buat pemanas badan. Insya Allah kita akan kongsi lagi di lain hari.

Wa salam.